September 21, 2013

Aku Dah Nak konvo ker!?

    Pertama kali melangkah ke Kolej Matrikulasi Perak (KMPk) melahirkan pelbagai perasaan yang bercampur-baur. Merasakan diri yang kecil ini sudah meningkat remaja dan selangkah lagi ke alam dewasa. Benda pertama yang menarik perhatian adalah sebuah tangki air yang berbertuk seperti lampu suluh yang besar. Terdengar budak-budak bertanyakan kepada ahli keluarga mereka, benda apakah yang besar seperti UFO itu. Apakah benda itu sebenarnya? Beberapa bulan kemudian, persoalan terhadap lampu suluh gergasi itu terjawab. Ianya merupakan tangki air paling besar di KMPK. Tempat kami bermain bola sepak atau futsal dengan tiang gol sekecil tempat duduk bangku yang di perbuat dari batu marmar. Di situ jugalah antara tempat yang paling tinggi di KMPk.  Kami melihat pelbagai ragam dan keindahan alam dari situ. Ada yang mengintai orang berdating, tidak kurang juga tempat mengadu nasib menceritakan masalah pada kawan-kawan. Buat diri ini yang merasakan terlalu remaja, tempat sebegitu memang sesuai untuk lari dari pelbagai masalah. Terdapat gunung-ganang yang teguh berdiri di hadapanya. Kadang-kala bertanya kepada diri sendiri, untuk apa aku ke sini sebenarnya?

   Selepas peperiksaan akhir semester dua di KMPk, kami bercuti panjang selama Enam bulan sebelum ditentukan ke IPTA manakah akan kami dicampakan. Aku memilih UPM sebagai pilihan utama, walaupun kemungkinan untuk ke sana lebih tipis, untuk pilihan kedua dan ketiga, aku merasakan UTeM dan UMP lebih sesuai. Memandangkan faktor jarak dari tempat tinggal, aku memilih UTeM sebagai pilihan terakhir. Beberapa bulan kemudian aku tercampak ke UTeM dengan pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Rangkaian). Aku termangu buat sekeitka. Melihat kembali result ku di KMPk yang cukup makan, aku tidak mauhu putus asa dan berpatah balik. "Selangkah kaki sudah berada di UTeM, apa salahnya kita habiskan melangkah dan bergerak maju ke hadapan" desak hati kecilku. Perjuangan mencari ilmu diteruskan juga.

   Aku bertatih-tatih untuk mengejar impianku walaupun subjek yang aku belajar ini sebenarnya begitu asing bagiku. Apa yang aku tahu berkenaan komputer? Jika masa kecil, aku hanya tahu pergi ke cyber cafe dan bermain permainan Red Alert 2. Itu sahajalah pengetahuanku berkenaan komputer. Kini aku belajar coding untuk sistem perisian komputer. Agak sukar dan payah juga untuk aku menelan sejumlah isi coding pada masa itu. Pernah juga aku menangis seorang diri di belakang makmal kerana terkapai-kapai untuk menghabiskan kod yang di beri. Memang aku tiada pengetahuan asas berkenaan coding. Akhirnya masalah itu selesai apabila aku membeli sebuah laptop jenama Compaq CQ40 yang aku namakan Pac-Boy.

   Kini aku bakal menjadi seorang graduan untuk bidang yang aku pelajari. Walaupun pada awalnya aku tidak bergitu berminat dengan komputer tetapi lama-kelamaan minat itu datang sendiri dan aku berjaya buktikan yang aku boleh lakukan. Tiada apa yang mustahil jika kita ada usaha yang gigih walaupun tiada minat. Aku bercadang untuk mengambil bindang lain sebagai kerjaya aku tetapi ilmu serta pengalaman dalam bidang komputer sedikit sebanyak membantu aku dalam mengaharungi dunia yang semakin pantas ditelan arus kemodenan. Alhamdulillah. Aku berjaya habiskan apa yang aku mulakan. Semoga kita berjaya mencapai apa yang kita impikan dalam hidup ini. Amin ya Allah....

Bisik-bisik :

-Pelangi hanya akan muncul selepas hujan
-Setiap pahit getir akan berankhir dengan kemanisan hidup
-Berakit-rakit ke hulu, Berenang-renang kemudian; Bersakit-sakit dahulu, Bersenang-senang kemudian...

0 Cerita Utama:

Post a Comment